COVID-19: Haiwan terbiar meningkat, sumbangan merosot

PETALING JAYA: Masalah ekonomi akibat pandemik COVID-19 bukan saja menjejaskan kehidupan manusia malah kebajikan haiwan.

Presiden Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) R kalaivanan berkata, jumlah haiwan terbiar meningkat akibat wabak itu.

Kumpulan itu bergantung kepada sumbangan untuk memberi makanan kepada haiwan terbiar dan merawat mereka yang sakit.

Kalaivanan memberitahu FMT, sumbangan awam menyusut hampir 80% manakala bilangan haiwan terbiar dianggarkan meningkat 70% sejak pandemik COVID-19 melanda.

“Saya rasa ia disebabkan impak pandemik COVID-19 terhadap pendapatan isi rumah,” katanya.

“Saya percaya mereka yang hilang pekerjaan tidak dapat menjaga haiwan peliharaan dan mengambil keputusan membuangnya. Kami turut menerima laporan tindakan itu disebabkan pemilik tidak dapat membawa bersama haiwan peliharaan apabila mereka berpindah ke tempat baharu.”

Kalaivanan berkata, SAFM menyelamatkan lebih 300 kucing dan anjing terbiar di Lembah Klang tahun ini.

Menurutnya, organisasi yang hanya beroperasi di Semenanjung itu memerlukan RM5,000 setiap bulan untuk mengekalkan programnya.

“Wang itu digunakan untuk makanan, ubat-ubatan, vaksinasi, ubat cacing selain memberi susu kepada anak anjing dan kucing yang diabaikan,” katanya.

SAFM meningkatkan usaha mengutip sumbangan di media sosial untuk menangani masalah kekurangan dana. Pembaca yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai program itu dan berhasrat menderma boleh melayari laman Facebooknya.