Segera ambil tindakan

Putrajaya: Persatuan Haiwan Malaysia (Animal Malaysia) memohon pihak berkuasa segera mengambil tindakan terhadap individu yang memukul kucing dengan kejam.

Presiden Animal Malaysia, Arie Dwi Andika berkata, pihaknya menerima aduan selepas rakaman video tular memaparkan seorang wanita memukul seekor kucing menggunakan kayu.

Menurutnya, menerusi video itu jelas kedengaran suara seorang individu yang berada di kawasan rumah menyarankan wanita terbabit memukul kucing itu sehingga mati.

Katanya, perbuatan itu boleh dikategorikan sangat kejam kerana terdapat pelbagai cara lain yang lebih bijak dalam menangani masalah itu seperti menanam pokok Coleus Canina atau menggunakan semburan penghalau haiwan (cat repellent spray) yang selamat digunakan kepada haiwan.

“Animal Malaysia dan Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) kecewa dengan tindakan individu tidak bertanggungjawab dan berharap kes ini mendapat tindakan dari pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi.

Sejak semalam tular di Facebook memaparkan seorang wanita memukul seekor kucing dengan sebatang kayu dan kejadian itu dipercayai berlaku di sebuah kediaman di Cyberjaya.

Arie berkata, tindakan wanita itu boleh menimbulkan masalah lebih besar seperti kejadian membunuh haiwan berkenaan.

Katanya, perbuatan tidak berperikemanusiaan terhadap haiwan adalah kesalahan mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Beliau yang juga penganalisis jenayah haiwan berkata, perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku ketika kerajaan sudah menperkenalkan Akta Kebajikan Haiwan 2015 di samping mendedahkan banyak program kesedaran di laman sosial.

Source : Harian Metro