Pada 13 Disember 2024, satu perjumpaan penting telah diadakan di SUK Selangor yang dipengerusikan oleh YB NG SUEE LIM 黄瑞林 , Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Pembangunan Kampung Baru Selangor(EXCO) . Turut hadir adalah YB Lee Chean Chung , Ahli Parlimen Petaling Jaya, Pegawai Khas YB Lee Chean Chung, Pegawai Penasihat Dasar, bersama wakil-wakil dari SPBT UPEN Selangor, serta wakil – wakil Gabungan NGO Kebajikan Haiwan iaitu Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia – SAFM , AKC, MAPS, MAKS, dan doktor veterinar.
Perjumpaan ini memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan pengurusan haiwan terbiar secara lebih berperikemanusiaan melalui beberapa cadangan penting. Antara cadangan utama adalah pelaksanaan dasar “No Kill Policy”, yang mencadangkan haiwan terbiar yang ditangkap tidak lagi euthanasia dan agar semua pusat kurungan anjing milik PBT di Selangor dijadikan pusat penempatan sementara bagi proses pemandulan dan vaksinasi, pelepasan semula (release back) ke lokasi asal bagi mengelakkan “kesan vakum” (vacuum effect).
Kami turut mencadangkan pelaksanaan program TNVRM (Trap, Neuter, Vaccine, Rehome/Release Back, Manage) di semua PBT di Selangor. Program ini bertujuan untuk menangkap anjing terbiar, memandulkan, memvaksin, dan seterusnya melepaskan mereka kembali ke lokasi asal. Dalam pelaksanaan ini, prosedur penangkapan yang lebih berperikemanusiaan turut disarankan untuk memastikan kesejahteraan haiwan tetap terpelihara.
Selain itu, cadangan pelesenan anjing bersyarat juga dibincangkan, di mana pemilik hanya akan diberikan lesen sekiranya anjing mereka telah dimandulkan bagi mengelakkan pembiakan tidak terkawal dan abondent haiwan perliharaan . Penyelarasan kadar kompaun bagi pengambilan semula (bail-out) anjing yang ditangkap turut dicadangkan agar ia diseragamkan di semua peringkat Pbt di Selangor untuk memastikan keadilan kepada masyarakat. Cadangan kerjasama antara PBT – PBT Selangor dan NGO – NGO di Selangor telah diberikan Supaya pelaksanaan TNVRM dan kawalan populasi haiwan dapat berjaya.
YB Ng Suee Lim menerima kesemua cadangan ini dengan sokongan penuh daripada YB Lee Chean Chung, yang dengan penuh komitmen telah menawarkan Petaling Jaya sebagai projek perintis untuk melaksanakan dasar “No Kill Policy” dan program TNVRM. Tindakan beliau mencerminkan kepimpinan progresif dan komitmen mendalam terhadap kebajikan haiwan yang wajar dipuji. YB Ng turut mengarahkan SPBT UPEN untuk menilai peruntukan dana serta merancang program pemandulan besar-besaran di seluruh Selangor sebagai langkah permulaan yang kukuh.
Dengan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak, YB Ng Suee Lim berjanji akan membawa semua cadangan ini ke Sidang Dewan Negeri Selangor pada Februari 2025 untuk dibentangkan secara rasmi. Perjumpaan ini menandakan satu langkah besar dalam usaha memperkukuhkan pengurusan haiwan terbiar di Selangor, dan SAFM berharap agar usaha ini akan terus berkembang demi kebajikan haiwan pada masa akan datang.
Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia SAFM ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada YB Ng Suee Lim, YB Lee Chean Chung, dan wakil-wakil dari SPBT UPEN Selangor atas keterbukaan mereka dalam mendengar dan menerima cadangan kami dengan penuh komitmen. Khususnya, penghargaan tidak terhingga kepada YB Lee Chean Chung atas memberi cadangan untuk menawarkan Petaling Jaya sebagai projek perintis. Tindakan ini mencerminkan keprihatinan dan kepimpinan beliau dalam memastikan kebajikan haiwan menjadi keutamaan.
Kami percaya dengan kerjasama dan sokongan berterusan, masa depan yang lebih cerah untuk haiwan terbiar di Selangor semakin hampir. Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan terus menyokong perjuangan ini.
Laporan penuh di laman Facebook rasmi SAFM