Kita kerap kali mendengar bahawa ‘Trap, Neuter, Release’ (TNR) atau Tangkap, Mandul, Lepas adalah kaedah yang lebih berkesan jika dibandingkan dengan tangkap dan bunuh (catch and kill).
Tapi kenapa ‘catch and kill’ tidak berkesan, sedangkan kaedah ini banyak kali digunakan oleh kebanyakkan pihak seperti kerajaan tempatan? Cuma tangkap dan bunuh, apa yang susah?
Kaedah tangkap dan bunuh boleh menyebabkan kawasan tersebut mengalami satu fenomena yang dikenali sebagai ‘kesan vakum’ (vacuum effect).
Walaupun kaedah tangkap dan bunuh akan mengurangkan populasi kucing atau anjing dalam jangka masa pendek, ia hanya bersifat sementara dan berpotensi menyebabkan populasi kucing di kawasan tersebut semakin bertambah pada masa hadapan.
Tangkap & Bunuh Menyebabkan Kadar Populasi Melambung
Kesan vakum akan terjadi apabila haiwan terbiar dari kawasan lain datang mendiami kawasan yang kosong setelah ‘dibersihkan’ melalui kaedah tangkap dan bunuh. Akibatnya, haiwan-haiwan ini akan membiak dengan lebih banyak dan menjadikan isu populasi semakin tidak terkawal.
Kesan vakum ialah antara sebab SAFM sering mengatakan bahawa TNR lebih baik dalam jangka masa panjang. Tangkap dan bunuh bukan sahaja satu langkah yang kejam, malah ia juga membazirkan duit rakyat dan hanya akan menyebabkan berlakunya kesan vakum.
Oleh itu, mengapa masih ada lagi pihak yang melakukan kaedah ini sedangkan ia terbukti tidak membawa solusi yang mampan?
TNR elak kesan vakum dan populasi yang lebih terkawal
Sebenarnya, wujud cara yang lebih berperikemanusiaan untuk mengurangkan populasi haiwan terbiar iaitu dengan cara tangkap, mandul dan lepas (TNR).
Dengan langkah ini, kucing atau anjing terbiar tidak akan membiak dan populasi dalam satu-satu kawasan dapat dikawal. Langkah ini bukan sahaja lebih berperikemanusiaan, ia juga terbukti lebih berkesan berbanding kaedah tangkap dan bunuh yang kejam dan membazir duit.
Elakkan Kesan Vakum di Kawasan Anda, Praktikkan TNR
Bersama, kita boleh mengentikan penggunaan kaedah tangkap dan bunuh yang kejam dan tidak berkesan.
Sekiranya dasar tempatan menyokong kaedah TNR, populasi kucing dan anjing terbiar bukan sahaja dapat dikawal, ia juga membenarkan haiwan terbiar ini hidup dalam keadaan yang lebih selesa di samping manusia.