Pemuliharaan Habitat Perlu Dititik Beratkan Untuk Melindungi Populasi Harimau
Sejak kebelakangan ini, media utama sering mensajikan berita melibatkan hidupan liar terutama yang dilanggar kenderaan.
Sekali lagi harimau belang dewasa mati akibat dirempuh kenderaan di lebuhraya Bentong – Kilometer 50.8 Kuala Lumpur-Karak (KLK) arah Kuala Lumpur berhampiran Lentang.
Kejadian sebegini perlu diambil perhatian oleh kerajaan Malaysia terutamanya Jabatan Perhilitan untuk memantau impak Hidupan liar disebabkan perubahan iklim dan Ekosistem negara. Kita patut lebih mengambil berat tentang kekerapan hidupan liar yang mati akibat kemalangan disebabkan kenderaan. Kita harus sedar kemalangan ini berlaku disebabkan ekosistem haiwan liar di Malaysia yang musnah akibat pembalakan yang berleluasa dan pembangunan yang pesat di sesetengah tempat.
Menurut laporan populasi harimau ini semakin merosot dan menurut WWF Malaysia setakat 2022, dianggarkan kurang daripada 150 ekor, sebahagian besarnya kerana habitat haiwan ini yang terjejas akibat penggondolan hutan, pembesaran kawasan pertanian serta pemburuan yang berleluasa. Manakala badan PBB(UN) melaporkan pemanasan global turut memberi kesan negatif terhadap ekosistem. Pelepasan karbon dioksida yang berlebihan dan kekurangan hutan telah menyebabkan suhu meningkat secara mendadak.
Kesemua data ini menunjukkan risiko kehilangan habitat seterusnya populasi haiwan terancam, lagi-lagi haiwan kebangsaan kita sendiri yakni Harimau Malaya.
Pupukkan tabiat positif dalam menjaga alam sekitar dan hidupkan liar seperti kempen kesedaran perlu diperluaskan lagi. Jalan penyelesaian yang baru dan cara menyelamatkan Harimau Malaya perlu diperkuatkan. Pemandu juga perlu bertanggungjawab untuk memandu kereta dengan berhemah dan berhati-hati ketika memandu di waktu malam dalam kawasan hutan.
Harimau Malaya adalah hidupan liar yang terancam dan dilindungi sepenuhnya mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Malah berdasarkan International Union for Conservation of Nature (IUCN), Harimau Malaya diletakkan dalam senarai merah spesies sangat terancam. Kalau tidak kita rakyat Malaysia, siapa lagi yang akan melindungi spesis harimau Malaya kita?