Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) terus melaksanakan misi bantuan untuk haiwan-haiwan yang terjejas akibat bencana banjir. Tahun 2024, Kelantan menjadi fokus utama misi kami berikutan banjir besar yang melanda kawasan Pantai Timur. Keadaan ini tidak hanya memberi kesan kepada manusia tetapi juga kepada haiwan peliharaan dan haiwan terbiar yang sering dilupakan.
Dalam misi kali ini, SAFM telah menghantar bekalan makanan haiwan termasuk makanan untuk kucing dan anjing. Bantuan ini dimuatkan ke dalam kenderaan pacuan empat roda dengan sokongan logistik daripada Tyan Aidi Azha Bin Abdul Masjid bersama pasukan Tok Bak Campsite and Rescue Adventure Team. Bekalan makanan ini akan dihantar ke kawasan kritikal seperti pusat penempatan sementara, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, dan sebuah pusat jagaan kucing yang kini menempatkan ratusan ekor kucing.
Banjir yang semakin serius telah menyukarkan akses kepada makanan. Oleh itu, usaha ini diharap dapat meringankan beban pemilik haiwan dan pengusaha pusat jagaan haiwan di kawasan terjejas. Kami percaya bahawa setiap usaha kecil ini mampu membawa harapan besar kepada haiwan-haiwan yang memerlukan.
SAFM akan terus berusaha menghantar lebih banyak bekalan makanan ke kawasan terkesan selagi keupayaan kami mengizinkan. Kepada mereka yang memerlukan bantuan, sila hubungi kami melalui hotline SAFM.
Kami juga membuka peluang kepada masyarakat untuk menyumbang kepada misi ini. Sokongan anda amat bermakna dalam memastikan haiwan-haiwan ini mendapat perhatian dan bantuan yang mereka perlukan.
Maklumat Akaun Sumbangan:
Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia
1000 4023 4095
AFFINBANK
Setiap sumbangan, kecil atau besar, membawa harapan besar buat haiwan-haiwan ini. Dengan kerjasama dan sokongan masyarakat, kita mampu meringankan penderitaan mereka.
“Setiap nyawa adalah penting.”


