5 Sebab Kembiri Kucing (Spay & Neuter) Kalau Anda Betul Sayangkan Mereka

kembiri kucing spay neuter
By Syira SAFM

Mama dan papa anak bulus kesayangan ada banyak tanggungjawab. Bukan sahaja kena diberi makan, minum, tempat tinggal yang selesa, kucing peliharaan juga harus dikembiri dan dimandulkan. Proses kembiri kucing ini dipanggil Spay & Neuter. Di Malaysia, masih ramai yang kurang arif tentang keberkesanan Spay & Neuter dalam kalangan haiwan peliharaan tidak kira anjing atau kucing. 

Terdapat banyak manfaat apabila kucing anda dikembirikan dari segi kesihatan dan kebahagiaan si comel, ke penjimatan kos dan tanggungan buat pemilik haiwan tersebut.

1. Kucing Akan Lebih Sihat

Pakar-pakar veterinar di seluruh dunia bersetuju bahawa antara faedah terbesar pemandulan kucing adalah dari segi kesihatannya. Pemandulan kucing atau Spay & Neuter merendahkan risiko pelbagai penyakit haiwan seperti kanser, jangkitan bakteria, jangkitan kelamin, penyakit pundi kencing dan banyak lagi.

Kucing yang dimandulkan juga akan lebih stabil dari segi hormon dan emosi kerana organ pembiakannya dibedah keluar. Anak bulus anda akan kurang kencing merata dan jadi ‘moody’. Kucing yang tidak dimandulkan selalunya berbuat demikian kerana hormon pembiakan mereka meragam dalam satu proses dipanggil ‘in heat’. Jadi, kalau tak mahu Oyen kencing merata, mengiau memanjang dan bergaduh dengan kucing jiran lagi, tiba masa untuk bawanya ke klinik haiwan!

2. Kucing Akan Hidup Lebih Lama

Kalau si comel sihat, gembira, kurang merayau ‘berdating’ dan bergaduh-gaduh, sudah tentu ia boleh hidup lebih lama. Anda mesti selalu berharap dan berdoa kucing anda dapat tinggal bersama dalam masa yang lama. Kucing yang sudah dikembiri atau dimandulkan dapat hidup sampai berbelas-belas tahun. Tidak kurang juga yang mencecah umur 20-an!

Percayalah, dengan Spay & Neuter, kucing peliharaan anda akan lebih sihat dan panjang umur, dengan izin Tuhan.

3. Kucing Akan Berpelakuan Lebih Baik

Kucing yang sudah dimandulkan selalunya akan lebih tenang dan ‘chill’. Dengan kurangnya hormon pembiakan, kucing peliharaan tidak banyak meragam, merayau, mencakar, mengiau lama-lama, kencing merata dan membuat huru-hara. Bagi kucing jantan, Spay & Neuter boleh mengurangkan sikap suka bergaduh dan ‘gatal’. Kucing betina juga begitu. Kalau dimandulkan, kucing betina akan meluangkan lebih masa di rumah daripada pergi ‘berdating’ kemudian bunting lagi sekali.

4. Jimat Kos Penjagaan Kucing

Seperti yang dikatakan sebelum ini, kucing yang tidak dikembirikan lebih risiko berpenyakit. Kos perubatan sudah tentu tinggi buat si bulus ni. Yang pastinya, pemilik haiwan hanya perlu tanggung kos vaksinasi, medical checkup berkala dan kos pembedahan kembiri (Spay & Neuter) sahaja. Jangan tambahkan lagi bil perubatan buat penyakit yang boleh dielakkan.

Ramai juga yang sanggup menanggung ‘cucu cicit’ kucing peliharaan yang tidak dimandulkan. Ini merupakan satu bebanan yang tidak semena-mena. Anda tidak perlu menjaga kucing yang banyak kalau tidak mampu, malah ia akan stress-kan anda dan juga kucing-kucing yang berebut makanan dan tempat tinggal. Kembirikan kucing anda dengan segera.

Sebenarnya, pembedahan Spay & Neuter tidaklah memakan kos yang terlalu tinggi dan anda hanya akan membayar sekali sahaja buat seekor kucing. Tempoh masa pun bukanlah lama seperti pembedahan manusia, hanya beberapa jam sahaja. Kucing anda pun tidak akan berasa sakit langsung, kerana ia akan dibius sebelum pembedahan. Cuma pastikan anda mengambil khidmat doktor veterinar di klinik yang sah supaya prosedur pembedahan dilakukan dengan betul dan selamat.

5. Mengurangkan Populasi Kucing Jalanan Yang Terbiar

Kucing secara biologinya cepat membiak. Kucing betina semuda umur 6 bulan sudah boleh bunting dan melahirkan kira-kira 4-6 anak kucing sekaligus. Mereka juga boleh bunting 1-2 kali setahun. Cuba buat matematik, kalau hanya seekor kucing yang tidak dimandulkan bunting 2 kali setahun dan melahirkan 6 anak kucing. Dalam satu tahun, 12 anak kucing dilahirkan di jalanan. Darabkan dengan adik-beradiknya sekali, populasi kucing akan bertambah berlipat ganda!

carta kucing tidak dikembiri
Image courtesy of spayneuter.org

Malangnya, banyak kes pembuangan haiwan peliharaan (pet dumping) berlaku disebabkan pemilik yang tidak mampu lagi menjaga kucing yang membiak. Padahal, jika mereka kembiri dan mandulkan kucing tersebut, perkara ini tidak akan berlaku. Kucing yang dibuang selalunya adalah ibu kucing yang masih menjaga anak-anak kucing yang kecil. Apabila dibuang, mereka akan hilang sumber makanan dan tempat tinggal. Natijahnya, banyak kucing jalanan yang maut dilanggar kereta, mati kelaparan dan jatuh sakit. Adakah kita sebagai manusia begitu tidak berhati perut untuk berbuat begini? Umpama menyeksa haiwan tersebut untuk mati secara perlahan, keseorangan dan terseksa.

Konklusinya, kembiri kucing (Spay & Neuter) dapat mengatasi pelbagai masaalah. Kedua-dua anak bulus dan penjaganya akan lebih bahagia, tenang dan damai. Kucing akan lebih sihat, stabil dan sayangkan mama dan papanya kerana menjaganya dengan penuh keperihatinan. Jadi, jika anda betul sayangkan kucing kesayangan anda, jangan ragu-ragu lagi untuk mendapatkan nasihat doktor veterinar. Elakkan kesengsaraan haiwan yang boleh membawa dosa. Marilah kita berkongsi bersama sahabat dan keluarga tentang kepentingan Spay & Neuter buat si bulus kesayangan.